Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, 18 November 2011

BUAT RENUNGAN PARA IBU N BAKAL IBU...


PERBUALAN SEORANG BAYI SEBELUM KELAHIRANNYA


 
Adalah dikisahkan….pada ketika seorang bayi akan dilahirkan ke dunia nyata.

Bayi itu bertanya kepada Allah : “Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah
Allah menjawab: “Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya.”

Bayi bertanya lagi: “Tetapi disini, di dalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia.”
Allah menjawab: “Malaikat mu nanti akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia di sana”

Bayi bertanya lagi: “Bagaimana mungkin saya dapat memahami orang-orang bercakap dengan saya sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”
Allah menjawab: “Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara untuk berkata-kata.”

Bayi bertanya lagi: “Apakah yang boleh saya lakukan ketika saya ingin berbicara kepadaMu?”
Allah menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa dan bermunajat kepadaKu.”

Bayi bertanya lagi:”Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya nanti?”
Allah menjawab: “Malaikatmu lah yang akan melindungimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya.’

Bayi bertanya lagi: “Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak lagi dapat melihatMu lagi.”
Allah menjawab: “Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku dan akan mengajarkan bagaimana kamu nanti akan kembali juga kepadaKu, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu.”

Pada saat itu, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran.

Dan sang bayi bertanya perlahan : “Ya Allah, jika saya terpaksa pergi sekarang ini, bolehkah Kamu khabarkan kepadaku nama malaikat yang Kamu maksudkan itu?”
Allah menjawab: “Kamu akan memanggil malaikatmu itu sebagai “IBU”. Maka ingatlah, sentiasa kamu berkasih sayang dengannya dan menghargai setiap pengorbanan ibu mu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa. Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat. ”

Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak mu yang sedang membesar. Sesungguh nya Syurga itu dibawah telapak kakimu. Sucikanlah 4 perkara dengan 4 perkara :

Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Robb mu
Dosa-dosa mu yang lalu dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu

kredit : tinta biru 

Tuesday, 15 November 2011

DEMI CINTA......


Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Tirulah sifat Al A’ffu (Maha Pemberi Maaf)  Allah SWT… yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu… pengampunan Allah tidak bertepi dan “bertapi” lagi.
Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa… Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.
Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!
Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati… Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.
Bila datang perasaan semacam itu di hati mu… sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA.. Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri… Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar. 
Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah.
Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.
Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan. Kemarahan seumpama ‘bom jangka’ yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita. Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah “benci tapi rindu”.
Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup… berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita ‘bebas’ dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu. Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita. Kemarahan itu adalah “api” dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.
Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau “life style” orang-orang yang soleh. Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?
Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun… Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!
Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati. Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang “tidak selesai” antara hati-hati kita berdua?
Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.
Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!
Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan  tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil… Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.
Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin… tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.
Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,“kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.
Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca “4 Qul”, doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan “orang lain” yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah… siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.
Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam “fail” di hati sanubari kita. “Delete” segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan “sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini…” Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.
Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.
“Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. “
“Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku.”
Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu  jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu  dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!
Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah… aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, “tiada maaf bagi mu” selagi ada rasa cinta.
Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit “benci tapi rindu” ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.
Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu. Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?
Kata ahli psikologi, “Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak.” Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!
Saudara/i ku, aku yang menulis ini pun masih bermujahadah untuk memaafkan. Lalu di akhir catatan rasa dan gurisan jiwa ini, ku hadiahkan sebuah puisi seadanya. Tentang gelombang rasa dan gejolak jiwa sendiri dalam sebuah episod dalam hidup ku sendiri. Sudi apalah kiranya kau tatapi bersama…
 
SUKARNYA MEMAAFKAN
Aku benci rasa ini
Walaupun ia bertandang di laman hati
Kenapa kau menjelma semula
Setelah menghilang sekian lama
Kau kah itu yang pernah menghadiahkan
Satu luka berdarah yang menyakitkan
Kenapa perlu ku temui lagi warna pilu
Ketika kau lalu di tepian kalbu
Ah, terasa segalanya terlalu laju
Bila batas-batas masa dikira
Puluhan tahun tidak lama
termanggu aku seketika…
di pinggiran nostalgia
… sukarnya memaafkan
….sukarnya melupakan
Segalanya kini sudah berubah
Sejak ikatan hati itu terungkai
Episod demi episod telah mendewasakan…
Kita semakin matang mentafsirkan!
Kalau benar cintakan Allah…
Hati kita tak kan terpisah
Dan entah kenapa tiba-tiba kini…
Kita dipertemukan  semula
…di persada kemaafan
bila butiran wahyu menyapa
Tuhan semulia itu pun bisa memaafkan
Lalu dendam luruh seluruh…
Walau di awalnya terasa susah sungguh!

kredit :genta rasa

Wednesday, 9 November 2011

untuk renungan bersama...

BEBASKAN CINTA MU!


Ramai orang yang mengaku menyintai orang lain – isteri atau suami atau sesiapa sahaja, tetapi hakikat sebenarnya dia bukan menyintai orang itu… tetapi dia menyintai dirinya sendiri!
Sedarlah bahawa cinta dengan memiliki itu suatu yang berbeza. Jangan silap tentang hakikat itu. Ramai pasangan suami isteri ‘terkorban’ cintanya kerana gagal membezakan antara mencintai dengan ‘memiliki’.
Bila kita mencintai seseorang, kita berfikir tentang dirinya, bukan diri kita. Kepentingan sendiri tidak dihiraukan, bahagia kekasih itu itulah yang diutamakan. Ungkapan ini menggambarkan cinta yang sejati.Sebaliknya, jika kepentingan sendiri lebih diutamakan, perasaan, jiwa dan rasa kekasih dibiarkan, maka itu bukan cinta. Itu memperalatkan cinta, namanya!
Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung mengikat, membelenggu dan mengawal. Berapa ramai isteri yang ‘mengawal’ suaminya atas nama cinta. Sehingga suami hilang kebebasan dan kemerdekaan dalam hidup seharian. “Bila nak balik?” “Kenapa lambat?” “kalau abang tak balik lagi, saya akan…” Bolehkah itu dikatakan ‘ayat-ayat’ cinta? Maaf, pertanyaan itu lebih mirip kata-kata seorang majikan kepada pekerja, bukan antara isteri dengan suami tercinta.
Suami pula apa kurangnya. Segala gerak-geri isteri dipantau penuh curiga. Setapak isteri melangkah, menggelak cemburu di dalam dada. Prasangkanya sudah ke tahap merimaskan sang isteri. Salah sedikit, marah. Terlanjur sekejap, ugutan. Bila ditanya, mengapa? Sisuami tidak malu mengaku, “kerana saya terlalu cintakannya!” Padahal, jika diamati dan diteliti, itu semua kerana cintakan diri. Kesihan, siisteri menjadi sandera cinta. Dikepung oleh penjara rumahtangganya, dicemeti oleh kata-kata suaminya. Ah, ada benarnya kata bijak-pandai… kekadang perkahwinan itu menjadi pusara percintaan!
“Queen control” atau “King Control” adalah produk cinta yang palsu. Cinta yang diselaputi kepentingan diri. Kulitnya cinta tetapi isinya keegoaan diri. Seperti seorang pemilik burung tekukur – diberi makan, diberi minum, dibersih dan dimandikan, dilatih berlagu – tetapi dikurung dalam sangkar. “Ini burung kesayanganku,” akuinya di hadapan tetamu. “Suaranya sungguh merdu,” puji tidak henti-henti. Sekalipun tekukur dikurung dalam sangkar emas. Sangkar tetap untuk mengurung, sekalipun sangkar emas. Kilauan sangkar emas, suara berlagu merdu, bukanlah kebahagiaan tekukur yang terkurung tetapi buat tuannya yang mengurung.
Ah, cinta kita kekadang begitu. Kita ingin memberi kebaikan yang diingini oleh kita bukan yang diingini oleh pasangan kita. Apa gunanya sangkar emas, makan-minum yang mewah, kemampuan berlagu, pada tekukur yang dibelenggu? Kalaulah terkukur boleh bersuara, dia akan berkata, “jika benar kau sayangkan aku wahai tuanku, bebaskanlah aku.” Walaupun tertukur tidak mungkin bersuara, tetapi tuannya pasti tahu, bahawa keinginan atau naluri setiap burung adalah kebebasan. Tidak sukar memahami dan merasai jika kita benar-benar mencintai. Bukankah kekasih sejati itu selalunya bertindak memahami dahulu kemudian baru difahami?
Betapa ramai isteri yang dikurung dalam villa atau istana, yang dilimpahi intan dan permata, diberi segala dan semua… tetapi dinafikan suara hatinya. Betapa ramai pula sisuami yang dijaga makan-minumnya, disiapkan pakaian dan segala keperluan lahirnya, tetapi sering disakiti dengan kata perintah, rajuk dan amuk oleh isterinya. Pelik, ketika suami belum pulang, segalanya dirisaukan. Sudah makankah dia? Kenapa lambat, rosakkah keretanya? Agaknya bagaimana dia di permusafiran? Sakitnya? Letihnya? Semuanya seakan menghantui perasaan siisteri. Tapi bila suami yang dibimbangi itu pulang… belumpun melangkah pintu, sudah dihambur dengan wajah masam mencuka, sudah dileteri dengan kata-kata yang berbisa.
Sudah lama tidak ziarah ke rumah mertua. Sisuami tahu hakikat itu. Boleh jadi sudah berbulan-bulan, boleh jadi telah bertahun-tahun. Siisteri memendam rasa. Ingin bersuara takut disentak. Ingin meminta gerun dibentak. Boleh jadi akan ‘diboikot’ dengan diam memanjang hingga ‘mode silent’ begitu menyiksakan. Keinginan isteri menjenguk ibu di kampung disekat. Tetapi kononnya kerana masih cinta, lalu diajak siisteri ‘ziarah’ ke ‘shopping’ komplek atau singgah di kedai emas, dibelikan subang dan rantai agar keinginannya pulang ke kampung halaman dilupakan. Jangan, jangan begitu, dahaga rindu bukan emas dan perak galang gantinya.
Belajarlah membebaskan, bukan mengikat sewaktu bercinta. Khususnya, bagi pasangan yang telah lama berumah-tangga, prinsip ini mesti difahami sebaik-baiknya. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, tidak ada lagi cinta berapi berasaskan keinginan biologi dan fisiologi. Yang mampu bertahan ialah rasa cinta yang sebenar – cinta yang melepaskan bukan mengikat. Ketika warna sebenar (‘true colours’) pasangan kita semakin terserlah hari demi hari, mampukah kita bertahan lagi? Bolehkah kita bersabar atas kelemahan dan kekurangan pasangan yang ketika itu sudahpun masuk belasan bahkan puluhan tahun kita hadapi?
Sudikah kita memberi peluang kedua, ketiga bahkan tidak kira kali keberapun untuknya memperbaiki diri? Jika sudi, benar kita masih cinta. Namun jika jemu, jika enggan, jika bosan itu petanda kurangnya rasa cinta. Ingatlah, jika pasangan kita ada karenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang diperkirakan, kesabaran pasangan kita terhadap karenah kita juga wajar dipertimbangkan. Ingat selalu, suami adalah cermi siisteri dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bahawa bagaimana perangai dan akhlak kita maka begitulah perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita!
Jadi, jangan cepat menyalah atau mengalah, sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan ataupun keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya, bukan sahaja tidak diingini oleh kita tetapi juga oleh mereka. Mereka pun pada hakikatnya sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu. Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu daripada ‘membuntu’ mereka.
Malangnya, hal diatas jarang berlaku. Kebanyakan orang tidak sabar dengan karenah pasangan mereka. Keceriaan dan ketenangan hidup terasa semakin terhakis oleh tabiat buruk pasangan. “Abang, saya hilang bahagia kalau abang berterusan marah-marah begini.” “Kalau you buat muka masam macam ni, I tak da pilihan. I terpaksa keluar ‘enjoy’ dengan kawan-kawan.” Kekadang suara begitu diperdengarkan. Tetapi acapkali dipendamkan. Kata-kata itu atau yang seumpama dengannya membayangkan penuturnya hilang ‘interest’ dengan pasangannya. Kata orang, habis manis sepah dibuang. Padahal, telek-teleklah kenapa suami puan muram, kenapa isteri tuan masam… Mungkin akibat beban kerjanya dipejabat. Mungkin impak perangai anak-anak di rumah. Atau yang lebih parah lagi, mungkin kerana karenah puan atau tuan sendiri. Masya-Allah.
Kita akan membuang barang yang kita miliki sekiranya barang itu hilang fungsinya. Kalau sesuatu itu tidak membawa manfaat kepada kita, apa guna lagi untuk meyimpannya? Begitulah cinta kalau tujuannya hanya untuk memiliki. Tetapi kalau cinta itu bukan untuk memiliki, kita akan terus cinta tidak kira apa jua keadaan pasangan yang kita cintai itu… Barang yang hilang fungsi bukan untuk dibuang, tetapi untuk diperbaiki. Begitulah sikap sebenarnya seorang isteri atau suami apabila berdepan dengan keburukan atau kelemahan pasangannya. Demi cinta, dalam diam-diam suara hati mereka membisikkan, kalau aku tidak dapat apa yang aku sukai, aku mesti belajar menyukai apa yang aku dapat!
Ah, betapa hebatnya sebuah kisah cinta seorang ahli sufi terhadap isterinya. Kisah yang menyebabkan saya termenung dan merenung begitu lama. Pada hari kematian isterinya barulah masyarakat tahu bahawa dia sebenarnya bukanlah seorang yang cacat… Dia hanya ‘berlakon’ cacat hanya untuk menjaga maruah dan harga diri isterinya yang benar-benar cacat. Berapa lama dia berlakon begitu? Puluhan tahun! Subhanallah. Itulah cinta yang sebenar. Cinta yang melepaskan belenggu psikologi, penjara jiwa dan rantai fikiran yang boleh menghilangkan kebahagiaan daripada diri pasangannya.
Tidak ada cinta seikhlas cinta Allah. Allah yang Maha Kaya itu tidak memerlukan sedebupun manfaat daripada hamba-Nya. Dia Al Qawwi, Dia Al Ghani… Tuhan maha Perkasa dan Tuhan maha Kaya, Tuhan tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Justeru, cinta-Nya benar-benar suci kerana hakikatnya Allah tidak inginkan sebarang balasan ataupun ganjaran.
Ya, Allah memang memiliki… tetapi DIA bukan membelenggu. Cinta-Nya membebaskan. Untuk bebas dariapada memperalatkan dan diperalatkan oleh cinta, jadikanlah cinta Allah sebagai asas dan di atas segala cinta. Jangan jadi sandera cinta, walaupun kepada isteri atau suamimu!